Irma Hasmie Bakal Timang Anak Lelaki


Irma Hasmie Bakal Timang Anak Lelaki

KUALA LUMPUR – Setiap pasangan suami isteri pastinya mengimpikan kehadiran cahaya mata bagi menambahkan sinar kebahagian dalam melayari bahtera rumah tangga mereka.
Tinggal beberapa bulan sahaja lagi, pelakon wanita, Irma Hasmie dan suaminya, Reza Syah Azmeer bakal menimang cahaya mata sulung.
Menerusi laporan Berita Harian Online, Irma dan Reza dikhabarkan bakal menimang cahaya mata lelaki sebagai anak sulung mereka.
Permulaannya, Irma dan suaminya, tidak mahu mengetahui jantina anak sulung mereka, tetapi, mereka berdua menerima berita itu dengan hati yang terbuka dan melahirkan rasa syukur kepada Ilahi.
“Jika boleh saya tidak mahu tahu jantinanya. Namun doktor mengatakan bayi kami lelaki.
“Apa pun, kita hanya merancang dan segala-galanya Tuhan yang menentukan,” kata Irma.
Bercerita mengenai aktivitinya ketika sedang hamil, Irma memberitahu dia banyak membaca buku-buku tentang hamil bagi menambahkan ilmu pengetahuannya.
Malah, dia banyak menjaga kesihatan diri dan kandungannya selain mengamalkan membaca Al-Quran sebagai ‘santapan’ anaknya setiap hari.
“Sebagai bakal ibu, saya banyak membaca buku berkaitan ibu mengandung, menjaga kesihatan, persediaan sebelum melahirkan dan penjagaan bayi.
“Di samping itu saya banyakkan membaca al-Quran dan meminum air zam-zam serta kurma. Ia baik untuk membekalkan tenaga kepada saya,” katanya.
Jika dilihat kepada pembesaran perutnya, sekarang ini merupakan waktu yang sesuai buat Irma dan Reza membuat persiapan menyambut bayi sulung mereka.
Pun begitu, Irma tidak mahu terlalu teruja dan mengikut nasihat ibunya agar tidak terburu-buru menyediakan persiapan kelengkapan bayi.
“Jika ikutkan, memanglah kami teruja untuk melakukan persiapan, lebih-lebih lagi inilah zuriat pertama kami. Namun saya mengikut pesanan mak agar tidak perlu terburu-buru,” beritahu Irma.
sumber

Posting Komentar